RETORIK GAYA DALAM MEMBENTUK KARAKTER BANGSA

  • NORIDA BERHAN
  • ZULKIFLEY HAMID
Keywords: Retorik, Model Skema, Model Trope, Analisis Kandungan, Kemahiran Berkomunikasi.

Abstract

Salah satu cabang ilmu pengetahuan yang memusatkan perhatian kepada aktiviti lisan dan kegiatan bertutur ialah retorik. Kajian ini bertujuan untuk meninjau kekuatan retorik gaya dalam ceramah. Kajian kualitatif ini menggunakan empat buah teks ceramah tokoh terkenal sebagai korpus kajian. Data dianalisis menggunakan model skema dan trope yang dikemukakan oleh Corbett dalam Teori Retorik Aristotle. Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan. Data teks ceramah spontan ditransliterasikan dan dianalisis berdasarkan 19 ciri retorik gaya skema dan 17 ciri retorik gaya trope. Dapatan kajian menunjukkan bahawa retorik skema gaya pengulangan lebih mendominasi penggunaan berbanding retorik skema gaya seimbang, hiperbaton, dan pengguguran. Dalam retorik gaya trope pula, gaya motonimi dan gaya hiperbola lebih mendominasi berbanding yang lain. Dapatan juga menunjukkan penggunaan retorik gaya yang pelbagai turut memberi sumbangan besar dalam menjayakan sesebuah ucapan. Selain itu, didapati retorik dalam ceramah merupakan satu kemahiran yang boleh dilatih dan diajar dalam
menentukan kewibawaan pengucap dalam membentuk karakter bangsa. Kehebatan retorik gaya dalam ceramah turut membantu mengubah fikiran dan tindakan khalayak. Kepelbagaian retorik gaya yang dihasilkan menunjukkan bahawa retorik gaya mampu membantu meningkatkan kemahiran berkomunikasi selaras dengan cabaran alaf ke-21. Hal ini membuktikan retorik gaya merupakan alat untuk menyampaikan mesej berkualiti sekali gus membentuk karakter bangsa yang berketrampilan dalam pelbagai bidang seperti politik, sosial dan ekonomi.

Published
2012-06-01