URUTAN DUA VOKAL DI SEMPADAN AWALAN: SATU PENJELASAN ANALISIS SPEKTROGRAFIK
Keywords:
urutan dua vokal, sempadan awalan, analisis spektrografikAbstract
Isu urutan dua vokal sering diperkatakan dalam kalangan sarjana linguistik di negara ini. Pelbagai pendapat dilontarkan tentang kehadiran bunyi hentian glotis terutamanya pada posisi sempadan awalan /iu/ dan /i-o/. Ada sesetengah sarjana yang mengatakan hadirnya bunyi hentian glotis dan ada pula mengatakan bunyi urutan vokal tersebut digeluncurkan menjadi bunyi geluncuran. Justeru kajian ini mengambil kira kaedah analisis spektrografik bagi menyelesaikan masalah ini, iaitu dengan cuba mengenal pasti ciri-ciri akustik yang hadir pada posisi tersebut. Beberapa sampel bunyi ujaran yang mewakili kata-kata terpilih telah dirakamkan daripada 32 orang penutur muda dan dewasa Melayu yang berbeza jantina. Rakaman pertuturan tadi kemudiannya diterjemahkan ke dalam bentuk data spektrogram dan akhirnya dianalisis secara spektrografik. Hasil kajian mendapati ciri akustik bunyi hentian glotis hanya hadir pada data penutur dewasa manakala ciri akustik bunyi geluncuran pula didapati hadir pada data penutur muda. Kajian ini telah menemukan kepelbagaian ciri akustik yang mempunyai kaitan dengan latar penutur yang berbeza jantina dan umur.

