Penguasaan Bahasa Melayu Penjawat Awam: Kajian Kes di Universiti Teknikal Malaysia (MTUN)

  • Junaini Kasdan
  • Nor Suhaila Che Pa
  • Mohd Syamril Aklmar Che Kassim
Keywords: penguasaan bahasa Melayu, penjawat awam, perisian AntConc, analisis linguistik.

Abstract

Komunikasi dapat diwujudkan dengan mudah melalui penggunaan e-mel kerana aplikasi ini merupakan satu bentuk komunikasi maya yang sangat efektif, sama ada di institusi awam atau swasta. Menurut Derks dan Bakker (2010), pada masa kini e-mel merupakan wahana komunikasi yang utama dan meluas, bukan sahaja dalam kalangan rakan sebaya, dekat atau jauh, tetapi juga diterima sebagai dokumen rasmi, walaupun tanpa ditandatangani oleh si pengirim. Bahkan ada yang memiliki lebih daripada satu akaun e-mel. Penggunaannya yang pantas, berkesan dan selamat menjadikan e-mel sebagai pilihan komunikasi yang utama, justeru tidak hairanlah jika penggunaan e-mel dalam sektor awam di Malaysia meningkat secara mendadak. Kini, hampir semua agensi di sektor awam telah dilengkapi dengan kemudahan e-mel. Dalam usaha memastikan keefisienan urus tadbir sebuah universiti teknikal Malaysia (MTUN), yang mempunyai lokasi pentadbiran kampus yang teragih, penggunaan e-mel terbukti sangat penting. Pemerhatian awal terhadap kepelbagaian format dan isi kandungan e-mel berbahasa Melayu yang diterima dari
pelbagai pusat pengajian, jabatan atau unit melalui pentadbir e-mel (postmaster) ICT sepanjang tahun 2013 menguja minat pengkaji untuk mengenal pasti dan menjelaskan fenomena tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam di universiti berkenaan dari kacamata sosiokognitif. Bagi memudahkan analisis, pengkaji memanfaatkan perisian AntConc yang
boleh diakses melalui internet. Hasil kajian mencatatkan bahawa penguasaan bahasa Melayu penjawat awam di universiti teknikal Malaysia yang dipilih adalah pada tahap sederhana. Kelemahan dikesan dalam bentuk morfologi, sintaksis dan pilihan kata, yang kadang kala menimbulkan kekeliruan dan menyebabkan maklumat tidak dapat diterima dengan baik. Justeru, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan semua penjawat awam dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana hal tersebut sangat berkaitan dengan imej dan sistem penyampian yang berkesan.

Published
2015-12-01