Metafora Konsepsi MARAH dalam Data Korpus Teks Tradisional Melayu

  • Rozaimah Rashidin
Keywords: metafora konsepsi, metonimi konsepsi, rantau konsepsi, teori Hibrid, kesejagatan dan kepelbagaian metafora

Abstract

Pelbagai aspek linguistik dapat diterokai melalui data korpus bahasa termasuklah unsur metafora konsepsi dalam korpus teks tradisional Melayu. Kertas ini bermatlamat untuk meneliti metafora konsepsi emosi dalam data korpus teks tradisional Melayu. Kajian menggunakan data korpus dari Malay Concordance Project (MCP). Enam teks tradisional Melayu digunakan sebagai sumber data iaitu Hikayat Hang Tuah, Sulalat Al-Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Acheh dan Tuhfat Al-Nafis. Dalam kajian ini, unsur metafora konsepsi dianalisis berbantukan Teori Hibrid. Teori yang mengkacukkan pendekatan linguistik kognitif dan pragmatik ini ditunjangi oleh Model Proses Tiga Serangkai (Triple Processing) bagi menghasilkan satu rantau konsepsi yang memerikan konsep leksikal atau makna terhadap kata atau frasa yang bersifat figuratif dan implisit. Selanjutnya, metafora konsepsi emosi Melayu ini telah dibandingkan pula dengan metafora konsepsi emosi yang terdapat dalam beberapa bahasa lain demi mencari kesejagatan dan kepelbagaian metafora. Jelasnya, kajian mendapati bahawa metafora konsepsi emosi marah yang bersifat sejagat ialah MARAH ADALAH CECAIR PANAS DI DALAM BEKAS. Sesungguhnya, faktor seperti persekitaran kognitif dan pengalaman badaniah serta perbezaan pengalaman, budaya dan adat resam telah mewujudkan kepelbagaian metafora konsepsi emosi. Kesimpulannya, kewujudan metafora konsepsi dan metonimi konsepsi emosi ini telah mencerminkan kebijaksanaan dan kekreatifan kognitif orang Melayu dahulu kala.

Published
2015-06-01