Ketidakselarasan Istilah Bahasa Melayu dalam Korpus Kejuruteraan dan S&T: Analisis Sosioterminologi

  • Junaini Kasdan
  • Harshita Aini Haroon
  • Nor Suhaila Che Pa
  • Zuhairah Idrus
Keywords: Ketidakselarasan istilah, sosioterminologi, penyelarasan istilah, pemadanan istilah, kegagalan komunikasi

Abstract

Terminologi atau peristilahan merupakan aspek penting dalam pembinaan bahasa Melayu,khususnya dalam usaha meningkatkan taraf dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Justeru, kegiatan penggubalan istilah secara terancang di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah dimulai sejak tahun 1956. Penggubalan istilah bidang Kejuruteraan dan Sains dan Teknologi (S&T) adalah antara yang terawal digiatkan. Sehingga 1992 sahaja, hampir 240,000 istilah dalam bidang Kejuruteraan dan Sains dan Teknologi (S&T) telah digubal. Kini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menghasilkan lebih daripada 1 juta istilah dalam pelbagai bidang ilmu. Namun, di sela-sela keghairahan mencipta dan membakukan istilah, wujud ketidakselarasan istilah, baik istilah sepunya mahupunistilah antara bidang.Dalam bidang Kejuruteraan dan Sains dan Teknologi (S&T) misalnya, istilah crown dipadankan dengan 'jemala', 'silara', 'puncak', 'perdu', 'laur' dan 'korona'. Kajian ini mencatatkan sebanyak 12.7% istilah dalam bidang Kejuruteraan dan S&Tmemiliki sekurang-kurangnya dua padanan istilah bahasa Melayu bagi merujuk konsep yang sama.Persoalannya, mengapakah ketidakselarasan istilah berlaku dalam bahasa Melayu? Apakah bentuk istilah yang cenderung dipadankan dengan istilah bahasa Melayu yang pelbagai?Dan, adakah ketidakselarasan istilah yang berlaku mengganggu kelancaran komunikasi antara bidang sehingga merencatkan perkembangan ilmu melalui bahasa Melayu?Justeru, penyelidikan alternatif ini bertujuan mengangkat permasalahan yang berkaitan dengan ketidakselarasan istilah bahasa Melayu, khususnya bidang Kejuruteraan dan Sains dan Teknologi (S&T) dari kaca mata sosioterminologi.Bagi memecahkan permasalahan tersebut, korpus bidang Kejuruteraan dan Sains dan Teknologi (S&T) dimanfaatkan dalam penyelidikan ini. Pelbagai bentuk ketidakselarasan istilah dikenal pasti dan setiap fenomena yang berlaku dijelaskan melalui pendekatan sosioterminologi.

Published
2020-07-28