Kata Pemeri Ialah dan Adalah: Analisis Pragmatik
Abstract
Kajian ini dilakukan bertujuan untuk menilai semula gelagat penggunaan sebenar kata pemeri ialah dan adalah. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat segelintir ahli bahasa yang menyatakan bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas
dan tidak kurang juga ada antara mereka yang tidak menggalakkan penggunaannya. Apa yang pasti, pendapat atau dakwaan tersebut ternyata dipengaruhi oleh jenis data yang digunakan oleh mereka semasa menghuraikan tatacara penggunaan kata pemeri dalam binaan ayat bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, bagi membuktikan kesahihan pendapat atau dakwaan tersebut, pembuktian daripada data korpus sememangnya perlu dilakukan. Sehubungan dengan itu, pembuktian tersebut akan dilakukan dengan menggunakan data sebenar yang dijana daripada pangkalan data korpus lima juta UKM-DBP yang kontemporari dan autentik sifatnya. Walau bagaimanapun, data yang digunakan dalam kajian ini
hanya melibatkan data yang diambil daripada subkorpus akhbar, iaitu akhbar Berita Harian yang dijana dengan menggunakan perisian Wordsmith Tools 5.0. Hasil daripada proses penelitian data yang dilakukan berjaya membuktikan
bahawa penggunaan kata pemeri ternyata semakin meluas dan produktif. Hakikatnya, analisis pragmatik yang menerapkan
teori relevans turut berjaya membuktikan bahawa kata pemeri ialah yang pada asasnya hanya boleh hadir di hadapan frasa
nama sebenarnya boleh juga hadir di hadapan frasa kerja, frasa adjektif, frasa sendi nama, dan klausa kecil. Begitulah juga
halnya dengan kata pemeri adalah yang pada asasnya hanya boleh hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama
tetapi dapatan daripada analisis pragmatik yang menerapkan teori relevans ini berjaya membuktikan bahawa kata pemeri
adalah boleh juga hadir di hadapan frasa nama, frasa kerja, dan klausa kecil. Seterusnya, usaha pemerihalan semula kata
pemeri sememangnya perlu dilakukan oleh ahli-ahli bahasa terutamanya ahli-ahli bahasa yang menghasilkan buku nahu
pegangan. Hal ini dikatakan demikian kerana dapatan daripada kajian lanjutan ini berjaya membuktikan bahawa gelagat
penyimpangan (anomali) penggunaan kata pemeri yang selama ini sentiasa menimbulkan konflik atau pertikaian dan
seterusnya dianggap sebagai salah dan tidak gramatis sebenarnya tidak menimbulkan sebarang masalah kepada sistem nahu atau tatabahasa bahasa Melayu. Sebaliknya, aspek yang menimbulkan masalah kepada sistem nahu atau tatabahasa bahasa Melayu sebenarnya berpunca daripada kepelbagaian huraian yang berkaitan dengan tatacara penggunaan kata pemeri yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa itu sendiri. Oleh hal yang demikian, dengan adanya penerapan teori linguistik dan penjanaan data sebenar daripada pangkalan data korpus berkomputer, diharapkan kajian ini mampu menyumbang kepada perkembangan bidang ilmu linguistik Melayu di Malaysia.


