Pemahaman kognitif dalam menjelaskan skema imej: analisis leksis setia berdasakan data korpus
Abstract
Ahli-ahli neurolingistik telah berjaya membuktikan bahawa otak mampu mengawal proses kognitif yang terlibat dalam hal menghasilkan bahasa atau untuk memahami bahasa. Rentetan daripada usaha tersebut telah menyebabkan ahli-ahli linguistik kognitif meneruskan kegiatan memahami bahasa dari aspek kognitif, yang tidak hanya memandang aspek atribut bahasa, tetapi sebaliknya turut meneliti aspek penampilan berbahasa. Berbekalkan konsep embodiment yang menjadi tunjang dalam kajian-kajian linguistik kognitif, pemahaman terhadap ujaran dalam sesuatu bahasa dapat difahami dengan bantuan struktur konseptual yang boleh digambarkan dalam bentuk visual. Bagi menyokong usaha tersebut, artikel ini dihasilkan dengan tujuan untuk mengetengahkan satu struktur konseptual yang boleh digunakan untuk memahami penggunaan leksis iaitu skema imej. Dengan menjadikan leksis setia dari pangkalan data korpus Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah subkorpus akhbar, buku dan majalah sebagai subjek, kajian ini telah berupaya menyerlahkan 6 skema imej asas iaitu skema imej TATATINGKAT, SAIZ, DAYA, PENGHUBUNG, JARAK, dan HADAPAN-BELAKANG, serta 1 skema imej yang baru diterokai iaitu skema imej SEMPADAN.


