Terjemahan ‘AIR’ dalam peribahasa Melayu – Inggeris: analisis semantik kognitif
Abstract
Perbezaan budaya Melayu-Inggeris biasanya menyebabkan para penterjemah menghadapi pelbagai kesukaran dalam memahami makna sesuatu peribahasa. Hal ini kerana, makna sesuatu peribahasa itu biasanya ditentukan oleh latar belakang budaya, pengalaman dan topologi kognitif (struktur skema imej) pengguna atau penutur kedua-dua bahasa ini. Lakoff (1993) mengemukakan Prinsip Invarians untuk menjamin pembentukan skemata adalah konsisten dalam domain sumber kepada domain sasaran. Menurutnya skemata metafora memelihara topologi kognitif (struktur skema imej) domain sumber ke dalam struktur skema imej bahasa sasaran. Berasaskan kerangka teori Prinsip Invarians Lakoff (1993) serta memanfaatkan himpunan koleksi peribahasa bahasa Melayu yang diperolehi daripada Kamus Peribahasa Melayu-Inggeris (2007), kajian ini membahaskan pemindahan simbolisme “AIR” dalam peribahasa bahasa Melayu ke dalam peribahasa bahasa Inggeris dengan tujuan memperlihatkan kebolehterjemahan simbolisme tersebut dalam bentuk topologi kognitif. Seterusnya, kajian ini dilakukan supaya dapat memperlihatkan perbezaan falsafah pemikiran atau kognitif masyarakat Melayu dan Inggeris dalam mengungkapkan sesuatu peribahasa.


