Penggolongan Kata Bahasa Mendriq Negrito: Satu Penelitian Rintis

  • Harishon Radzi
  • Fazal Mohamed bin Mohamed Sultan
  • Zaharani Ahmad
  • Nor Hashimah Jalaluddin
Keywords: minoriti, morfologi, kelas kata, binaan suku kata

Abstract

i Malaysia kelompok minori orang asli terdiri daripada tiga kumpulan besar iaitu Negrito, Senoi dan Proto-Malaya berdasarkan kepada beberapa kriteria seperti bahasa, cara hidup dan ciri-ciri fizikal. Kriteria tersebut sebenarnyalah yang cuba dipertahankan sebagai identiti warisan meskipun semakin terkesan kerana pengaruh kumpulan majoriti dalam persekitaran kehidupan. Kumpulan Orang Asli terawal yang datang ke Tanah Melayu ialah dari kelompok Negrito (Iskandar Carey,1976). Kumpulan monoriti ini dianggap ‘aborigines’ yang lebih membawa makna sebagai masyarakat mundur, primitif dan masalah tidak membangun (Jasman Ahmad dan Rosnah Ramli dalam Abd Talib Bon, 2002 :1). Makalah ini membicarakan tentang bahasa Mendriq yang dipertuturkan oleh kumpulan orang asli Negrito di Kuala Lah, Gua Musang, Kelantan (kira-kira 300 orang penduduk). Elemen kebahasaan seperti aspek morfologi bahasa Mendriq masih dapat dikesan dan menjadi salah satu ciri keunggulan bagi kumpulan Negrito. Hasil penelitian menunjukkan bahawa, meskipun bahasa Mendriq sudah bercampur baur dengan bahasa asli lain seperti bahasa Temiar kerana faktor perkahwinan dan bahasa Melayu kerana keperluan kehidupan, namun ciri-ciri khusus bahasa tersebut seperti mempunyai banyak perkataan satu suku kata masih boleh dikesan dan dianalisis. Fokus makalah ini secara deskriptif berpendekatan struktural terhadap bentuk-bentuk penggolongan kata seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata sendi nama. Di samping itu, makalah ini turut membicarakan pola kehadiran binaan suku kata dalam bahasa Mendriq. Jelaslah bahawa bahasa bukan sahaja memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia untuk tujuan interaksi sesama makhluk. Namun, bahasa seperti bahasa Mendriq ini juga memainkan peranan yang amat besar untuk membezakan satu suku dengan satu suku yang lain serta satu kaum dengan kaum yang lain walaupun statusnya bersifat minoriti sahaja.

Published
2011-03-01