Cerminan Jati diri Penuturnya dalam Dialek Negeri Sembilan
Abstract
Kajian dialek merupakan satu kajian yang penting dalam ilmu bahasa dan linguistik. Dialek ialah sejenis kelainan bahasa, yang berbeza dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa daripada bahasa baku (Hartmann & Stork 1972, O’Grady et al 1998, Fromkin et al 2003). Namun penyelidikan ini tidak mengkaji secara khusus kajian dialek Negeri Sembilan (N.S) itu berdasarkan ciri-ciri penyebutan, kosa kata dan tatabahasa. Kajian ini lebih tertumpu kepada bidang sosiolinguistik. Kajian dibuat adalah untuk melihat hubungan dialek Negeri Sembilan itu dengan masyarakat yang menuturkan dialek tersebut. Kajian dan penyelidikan tentang aspek-aspek yang digolongkan sebagai bidang sosiolinguistik dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu perbincangan masalah yang bersifat mikro dan makro. Penyelidikan ini lebih bersifat makro iaitu melihat dari segi penggunaan dialek Negeri Sembilan dan sikap terhadap dialek itu sendiri oleh penutur dialek tersebut. Dari aspek penggunaan, yang diperhatikan ialah situasi-situasi yang menyebabkan penggunaan dialek Negeri Sembilan dan faktor-faktor yang menimbulkan perubahan dalam penggunaan dialek tersebut. Kajian ini tidak menumpukan tahap penguasaan dialek seseorang secara khusus, cekap atau tidak mereka menggunakan dialek juga bukan menjadi ukuran. Daripada kajian ini diharapkan dapat menunjukkan pola penggunaan dialek dan adat yang mereka anuti. Adat yang ada di Negeri Sembilan dapat dibahagi kepada dua iaitu adat Perpatih dan adat Temenggung. Apakah dengan penggunaan dialek mereka dapat menunjukkan jati diri mereka. Persoalan inilah yang cuba diterokai dan diungkai oleh pengkaji.


