Persepsi Politik dalam Dialek Kedah: Analisis Semantik Kognitif
Abstract
Situasi politik negara pada pasca pilihanraya ke 12 berhadapan dengan fasa yang menarik. Tampuk pemerintahan yang dipegang oleh parti Barisan Nasional (BN) dilihat semakin goyah apabila berlaku beberapa perkara yang luar jangkaan. Perkembangan terkini menyaksikan pelbagai tanggapan atau persepsi lahir daripada pemikiran rakyat terhadap BN. Perletakan jawatan Perdana Menteri, rasuah, rampasan kuasa dan individualistik merupakan antara penyebab yang dilihat telah menjatuhkan reputasi BN sebagai parti yang memerintah. Rakyat kini dilihat sudah berani bersuara menyatakan pendapat. Rasa tidak puas hati ini diterjemah dalam bentuk undi dan mereka telah memilih parti pembangkang yang dirasakan sesuai untuk memerintah. Atas dasar itu, kajian ini dilaksanakan untuk menterjemahkan persepsi masyarakat terhadap isu politik yang melanda negara hari ini. Pengaplikasian teori semantik kognitif iaitu pemaparan skema imej dan pembentukan metafora konsepsi dapat menggambarkan persepsi masyarakat terhadap situasi politik semasa. Kajian ini cuba membuktikan persepsi politik masyarakat boleh dihuraikan bukan sahaja dari perspektif politik tetapi juga dari perspektif linguistik.


