Karya Serius vs Karya Popular: Persoalan Gaya dan Ideologi

  • Mohammad Fadzeli Jaafar
Keywords: gaya fikiran, ideologi, intertekstual, teks

Abstract

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, polemik di antara karya serius dengan karya popular telah mendapat perhatian dalam kalangan pengkaji dan peminat sastera di Malaysia. Sering kali perdebatan tertumpu pada konsep dan status kedua-dua karya serius dan popular. Karya serius dikaitkan dengan fungsi intelektual dan estetika, sementara karya popular sering menonjolkan aspek estetika sahaja. Makalah ini membincangkan isu tersebut dan akan dihubungkan dengan persoalan gaya dan ideologi. Perbincangan berdasarkan kerangka gaya fikiran oleh Umar Junus (1989:192): (i) ideologi yang dipersembahkan oleh pengarang apabila ia memilih gaya yang tertentu, dan (ii) ideologi yang dapat dikesan berdasarkan penggunaan gaya teks yang tertentu. Dalam perkataan lain, ideologi yang pertama merujuk kepada pengarang dan period, manakala ideologi kedua merujuk kepada teks, yang dihubungkan dengan hermeneutics atau intertekstual. Makalah ini menggunakan beberapa novel popular dan akan membandingkannya dengan karya serius, misalnya Salina oleh A. Samad Said. Analisis tertumpu pada bab pertama kerana bab ini dapat menggambarkan sikap atau sudut pandangan pengarang. Berdasarkan pemerhatian, pengarang karya serius cenderung menggunakan ayat kompleks, untuk dihubungkan dengan gaya yang kompleks. Gaya naratif juga digunakan untuk menunjukkan wawasan tentang isu nasional, misalnya kemerdekaan. Hal ini berbeza dengan karya popular yang menggunakan ayat selapis dengan cerita tentang golongan remaja. Hasil kajian ini akan menyumbang terhadap gaya dan ideologi untuk kedua-dua karya serius dan popular.

Published
2011-03-01