Produktiviti Imbuhan Apitan Ke ... An Dan Pen ... An: Pendekatan Linguistik Korpus
Abstract
Abdullah Hassan (2006) menyatakan bahawa imbuhan apitan amat produktif. Ini berdasarkan keupayaan imbuhan apitan ini dapat secara sistematik bergabung dengan dengan pelbagai kategori kata akar. Kajian ini menguji pernyataan berdasarkan intuisi penahu dengan kenyataan dari korpus. Khususnya, kajian ini mengukur dan membandingkan produktiviti morfologi imbuhan apitan ke-...-an dan peN-...-an dalam bahasa Melayu. Kedua-dua imbuhan apitan ke-...-an dan peN-...-an berfungsi untuk menerbitkan kata nama (terbitan) daripada kata akar (KN, KK, KAdj). Dengan menggunakan ukuran produktiviti Baayen (1989, 1992) yang menggunakan data korpus, produktiviti proses pengimbuhan apitan telah diukur. Ukuran produktiviti Baayen menggunakan data bilangan hapax serta kekerapan token untuk menjana indeks produktiviti. Berdasarkan nisbah hapax dengan token dalam korpus, ukuran produktiviti ini menyatakan produktiviti sebagai kebarangkalian sesuatu kata terbitan baru (hasil imbuhan tertentu) ditemui dalam korpus. Kajian ini mendapati bahawa imbuhan itu mempunyai nilai produktiviti yang rendah pada tahap p = 0.0050 dan p = 0.0032 dengan imbuhan apitan ke-...-an lebih tinggi nilai produktiviti berbanding peN-...-an. Namun demikian, peN-...-an didapati mempunyai bilangan type yang lebih tinggi daripada ke-...-an.


