Analisis Situasi Kata Kerja Gerak Bahasa Melayu
Abstract
Makalah ini membincangkan sifat dan lakuan kata kerja mengikut ciri situasi dengan memberi fokus kepada kelas kata kerja gerak iaitu makna kelas kata kerja ini memasukkan komponen gerak pelaku. Data dalam kajian ini diambil daripada pangkalan data korpus Dewan Bahasa dan Pustaka dan dianalisis menggunakan konsep semantik Teori Role and Reference Grammar (RRG)- Van valin (2005). Representasi semantik dalam RRG berasaskan kepada representasi predikat iaitu kata kerja yang berasaskan representasi dekomposisi Aktionsart. Kelas Aktionsart terbahagi kepada kata kerja keadaan, kata kerja pencapaian, kata kerja penyempurnaan, kata kerja aktiviti, kata kerja aktif penyempurnaan dan versi kausatif bagi setiap kelas kata kerja. Representasi bagi dekomposisi kategori Aktionsart yang berbeza akan direpresentasikan sebagai ‘struktur logik’ (SL). Hasil analisis mendapati kata kerja yang secara inheren bersifat berarah merupakan kelas kata kerja aktif penyempurnaan iaitu mempunyai ciri [+tempoh masa], [- ketepatan masa], [+ titik penamat]. Kata kerja cara gerak merupakan kata kerja yang berada dalam kelas aktiviti kerana memiliki ciri [-statik, -titik penamat,-tempoh masa] yang boleh hadir bersama preposisi di dan ke. Kata kerja gerak meninggalkan juga merupakan kata kerja yang berada dalam kelas aktif penyempurnaan. Kata kerja ini mempunyai ciri [- statik], [+ titik penamat] dan [- ketepatan masa]. Kata kerja gerak berkenderaan mempunyai ciri [- statik], [+ titik penamat] dan [- ketepatan masa]. Kelas kata kerja ini merupakan kelas kata kerja gerak kausatif aktif penyempurnaan. Sehubungan dengan itu, makalah ini telah menunjukkan bahawa struktur semantik kata kerja dan hubungannya dengan kehadiran preposisi lokatif dan argumen lain seperti Frasa nama.

