Penguasaan Bahasa Melayu Pelajar Sekolah Menengah: Analisis Pengungkapan Idea Dalam Penulisan Karangan
Abstract
Makalah ini membentangkan dapatan kajian mengenai penulisan karangan pelajar Melayu dan bukan Melayu tingkatan empat di sekolah menengah di Malaysia dengan memfokus pada wacana penulisan mereka. Secara khususnya makalah ini melihat penggunaan ungkapan menarik dalam penulisan mereka. Ungkapan menarik yang dimaksudkan ialah penggunaan peribahasa, pantun, cogan kata, frasa menarik, petikan ucapan, kata-kata hikmat, petikan hadis, kosa kata yang cantik maksud, maksud ayat Al-Quran dan lain-lain. Kajian dijalankan di lima kawasan iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak dan melibatkan lima belas buah sekolah (tiga sekolah di setiap kawasan). Secara keseluruhannya, dapatan umum kajian mendapati pencapaian para pelajar ini secara majoritinya adalah di tahap sederhana iaitu kira-kira 62%. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa majoriti pelajar ini perlu mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu yang menjadi lingua franca antara kaum di Malaysia. Usaha ini perlu untuk mencapai kesejahteraan masyarakat kerana bahasa adalah salah satu jambatan untuk mengikat hubungan yang baik antara pelbagai kaum di Malaysia.

