Penguasaan Bahasa Melayu dan KOMSAS daripada Perspektif Guru dan Murid
Abstract
Persoalan penting yang sering menghantui kita apabila berhadapan dengan pedagogi bahasa ialah pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kaedah pengajaran dan pembelajaran seringkali dibincangkan. Namun jarang kajian dilakukan terhadap penguasaan bahasa menurut perspektif guru dan murid. Komponen sastera dalam Bahasa Melayu atau dikenali sebagai KOMSAS merupakan suatu subjek yang amat menarik untuk dikaji. Dapatan awal menunjukkan bahawa remaja Malaysia kurang meminati subjek tersebut kerana mereka menyatakan bahawa cara pengajaran yang digunakan guru tidak menarik minat mereka. Begitu juga jikalau dilihat daripada perspektif guru, mereka menyatakan pelajar kurang berminat untuk terus mengikuti pembelajaran. Bagi penguasaan bahasa Melayu pula, statistik menunjukkan pelajar mempunyai persepsi bahawa pembelajaran tatabahasa bahasa Melayu adalah sukar. Lima buah negeri telah menjadi medan penyelidikan ini iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah. Bagi setiap negeri, tiga buah sekolah telah terlibat yang mewakili sebuah sekolah dari luar bandar, pinggir bandar dan bandar. Pemilihan ini dibuat untuk memastikan dapatan tersebut boleh mewakili responden remaja di seluruh Malaysia. Jumlah pelajar yang dijadikan responden adalah seramai 1523 orang. Penyelidikan yang dijalankan inilah yang digunakan untuk memperbaiki kekurangan yang didapati dalam pelaksanaan sesuatu perkara. Diharapkan segala dapatan ini membantu pihak kementerian pendidikan, jabatan pendidikan dan pihak berwajib yang lain merangka kurikulum bahasa Melayu amnya dan KOMSAS khasnya. Oleh itu dapat dikatakan bahawa penyelidikan linguistik amat penting bagi menentukan tujuan pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai dengan jayanya.

