Strategi membaca dan kumpulan etnik: satu kajian membaca dalam bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Malaysia

Authors

  • Noraini Ibrahim
  • Radha M.K. Nambiar

Abstract

Membaca ialah satu kemahiran yang teramat penting namun apa yang berlaku semasa seorang membaca masih tidak jelas. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kepelbagaian pembolehubah yang bertindak balas dan mengimpak proses membaca ini. Di antara pembolehuabah yang berpengaruh ialah pembaca dan teks yang dibaca. Makalah ini akan memfokus kepada kumpulan pembaca (pelajar) dan amalan budaya mereka untuk meninjau sama ada terdapat jenis-jenis strategi membaca yang tertentu yang digunakan oleh beberapa kumpulan etnik apabila membaca teks Bahasa Melayu. Ini adalah kerana apabila seorang itu membaca, akan terbit satu proses ‘dialektik’ antara pembaca di satu pihak dan skemata, pengalaman terdahulu, kepercayaan-kepercayaan individu dan komuniti dan pengalaman pembelajaran di pihak lain, dalam proses pembacaan itu. Oleh kerana ekologi masyarakat Malaysia terdiri dari berbilang etnik, bahasa dan agama, maka persoalan yang terbit ialah sama ada kumpulan etnik menjadi pembolehubah dalam pilihan strategi-strategi membaca. Selanjutnya kajian juga tertumpu kepada pilihan strategi-strategi yang spesifik yang digunakan pelajar. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan melalui soal selidik, di 4 zon (utara, tengah, timur di semenanjung dan Sabah dan Sarawak) serta melibatkan 1473 pelajar. Pelajar dibahagikan berdasarkan kumpulan etnik mereka iaitu Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain. Secara am, dapatan menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan ketara diantara penggunaan strategi dan kumpulan etnik. Ini mungkin terhasil dari proses asimilasi akademik dan budaya sekolah kebangsaan yang telah menyeragamkan pemerosesan pembacaan pelajar. Namun begitu dapatan yang membimbangkan ialah kurangnya penggunaan atau pengeksploitasian strategi-strategi membaca. Ini bermakna sebilangan besar pelajar kita tergolong dalam kategori pembaca bertaraf rendah. Justeru itu para guru dan pendidik disarankan supaya memberi tumpuan dan tunjuk ajar tentang kemahiran membaca pada tahap yang tinggi dan lebih kompleks supaya proses membaca akan menjadi lebih efektif dan efisien.

Downloads

Published

2010-03-01