Lakuan Bahasa Permintaan Dalam Kalangan Pelajar Melayu di Akademi Pengajian Bahasa di UiTM Shah Alam

  • Normah Ahmad
  • Amirah Ahmad
  • G. Sharina Shaharuddin
Keywords: lakuan bahasa, permintaan, strategi membuat permintaan, domain, konteks situasi

Abstract

Lakuan bahasa permintaan digunakan dalam interaksi seharian atas pelbagai tujuan seperti untuk mendapatkan maklumat, meminta sokongan atau bantuan daripada orang lain. Kajian ini dilakukan untuk meneliti penggunaan lakuan bahasa permintaan dalam kalangan para pelajar Melayu berdasarkan pelbagai konteks situasi dalam domain sosial tertentu. Kaedah Tugas Penyempurnaan Wacana (TPW) diadaptasi untuk memperoleh maklumat daripada 20 orang pelajar UiTM berdasarkan 10 konteks situasi lakuan bahasa permintaan. Tiga aspek konteks situasi dibina dalam borang TPW iaitu hubungan sosial, medium komunikasi dan latar perbualan. Dalam aspek hubungan sosial, konteks situasi yang dinyatakan adalah berdasarkan lima domain iaitu: (i) domain hubungan kekeluargaan; (ii) domain rakan sebaya; (iii) domain status sosial rendah-tinggi; (iv) domain status sosial tinggi-rendah dan (v) domain jarak sosial awam. Analisis lakuan bahasa permintaan dilakukan berdasarkan kategori permintaan yang dikemukakan oleh Blum-Kulka, House dan Kasper (1989) serta strategi permintaan yang dikemukakan oleh Hassall (2003) dan prinsip kesantunan Asmah (2000). Dapatan kajian menunjukkan bahawa para pelajar Melayu menerapkan penggunaan urutan permintaan yang jelas dalam menyampaikan lakuan bahasa permintaan mengikut konteks situasi dan domain tertentu. Konteks situasi yang mendesak untuk diri sendiri menunjukkan penggunaan tindakan sokongan yang lebih banyak, berbanding konteksi situasi yang mewakili sesuatu pihak. Penggunaan substrategi performatif pembatas (SS3) merupakan tindakan sokongan yang paling dominan diperoleh daripada maklum balas responden. Substrategi tersebut dapat dilihat menerusi penggunaan kata kerja bantu bagi menyokong ilokusi utama untuk menyantuni pihak pendengar supaya tidak merasa ujaran tersebut suatu arahan atau keterpaksaan dalam memenuhi permintaan tersebut.

Published
2020-11-27