Faktor Agama dalam Asimilasi Budaya Arab ke dalam Budaya Melayu

  • Mohd Shabri Yusof
Keywords: Agama, Budaya Kebendaan, Budaya Bukan Kebendaan, ‘Uruf, Asimilasi

Abstract

Makalah ini membincangkan agama sebagai faktor pembentukan asimilasi budaya Arab yang bersifat minoriti ke dalam budaya Melayu yang bersifat majoriti. Antara ciri utama bahasa dan budaya Melayu ialah menerima transisi dan perubahan serta mempertahankan tradisi dan keaslian dalam proses asimilasi dengan budaya luar. Dengan mengharmonikan transisi dan tradisi tersebut, bahasa Melayu sentiasa mengalami dinamisme perkembangan yang terancang, seperti peminjaman kosa kata keagamaan daripada bahasa Arab. Demikian juga halnya dengan budaya Melayu yang menerima pengaruh dalam interaksi dengan budaya luar, seperti amalan berzanji dan marhaban yang merupakan pengaruh bukan kebendaan daripada budaya Arab (‘uruf), yang dicirikan oleh faktor penyebaran agama Islam. Kerangka pendekatan kajian ini adalah berasaskan konsep difusi budaya yang dikemukakan oleh Fritz Graebner (1911), iaitu asimilasi berlaku apabila budaya yang dibawa masuk tidak bertentangan dengan budaya tempatan. Data kajian ini pula ialah sumber-sumber sekunder berkaitan Islam dan antropologi budaya, khususnya asimilasi budaya. Perbincangan merangkumi kandungan agama Islam, pentafsiran budaya kebendaan dan bukan kebendaan daripada perspektif Arab dan Melayu, serta pola pembentukan asimilasi budaya Arab minoriti ke dalam budaya Melayu majoriti yang memperlihatkan pengharmonian antara transisi dengan tradisi tersebut.

Published
2020-11-27