Penukaran Kod Bahasa Kolokial Dusun Daerah Ranau
Abstract
Latar belakang masyarakat di negeri Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum seperti Melayu, Kadazan,
Murut, Dusun, Bajau, Cina dan lain-lain telah memberi kesan kepada penggunaan bahasa yang
pelbagai antara kaum-kaum tersebut semasa mereka berkomunikasi dalam kehidupan harian. Kajian
ini merupakan kajian kebahasaan masyarakat Dusun di negeri Sabah, iaitu kajian penukaran kod di
kampung Bundu Tuhan Daerah Ranau. Dengan itu, kajian ini memberi fokus kepada masyarakat
Dusun di kampung Bundu Tuhan dan bahasa yang digunakan semasa mereka berkomunikasi dan
dianalisis penukaran kod yang berlaku dalam rakaman yang dibuat. Metodologi kajian ini adalah
menggunakan kaedah rakaman secara temu bual dengan responden. Sebanyak 10 rakaman telah
dijalankan dengan responden masyarakat Dusun, Setiap rakaman dibuat berdasarkan perbualan
aktiviti sehari-hari yang biasa oleh masyarakat Dusun seperti hobi, pekerjaan, aktiviti-aktiviti pada
masa lapang, dan lain-lain. Hasil rakaman akan ditranskripsi, dan analisis kajian berdasarkan tahap
penukaran kod oleh Poplack (1980, 1981), iaitu tag, intrasentential, dan intersentential. Sungguhpun
masyarakat Dusun yang dikaji merupakan penutur natif bahasa Dusun, namun kajian ini telah
mengenalpasti bahawa berlakunya penukaran kod oleh masyarakat Dusun dalam komunikasi seharian
mereka. Dengan itu, hasil kajian ini dengan jelas telah dapat mengungkap bahawa masyarakat Dusun
telah menuturkan pelbagai bahasa lain selain bahasa Dusun.


