Refleksi Dualisme ‘Durian-Timun’ Dalam Peribahasa Melayu: Pendekatan Semantik Inkuisitif
Abstract
Konsep dualisme sering kali dibahaskan dalam ruang lingkup yang pelbagai seperti dualisme agama, dualisme pendidikan, dualisme pembangunan negara dan dualisme ekonomi. Pengamatan terhadap pengalaman hidup menjadikan masyarakat Melayu pada masa lalu lebih peka terhadap persekitarannya, sama ada yang bersifat positif atau negatif, bahkan yang bersifat natural atau duaan. Dalam peribahasa Melayu, konsep dualisme wujud berdasarkan penilaian orang Melayu pada masa lalu terhadap sifat dan tingkah laku orang di sekelilingnya, objek dan imej yang mereka lihat, rasa dan dengar, yang lazimnya bersumberkan alam. Sebanyak 37 peribahasa yang dijana dari pangkalan data www.malaycivilization.com UKM dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu didapati mengandungi elemen dualisme. Daripada 37 data yang dikenal pasti, sebanyak 16% peribahasa adalah daripada kombinasi ‘durian-timun’. Kajian ini mengaplikasikan Pendekatan Semantik Inkuisitif, di samping pengaplikasiann Rangka Rujuk Silang (RRS) terhadap data korpus. Berdasarkan analisis yang dilakukan, peribahasa yang berasaskan gandingan objek ‘durian-timun’ menunjukkan unsur pertentangan bagi maksud yang disampaikan. Perbezaan struktur fizikal kedua-dua buah ini menyebabkan masyarakat Melayu merefleksikan pertentangan kuasa (kuat-lemah) bagi gandingan ‘durian-timun’. Gabungan data, teori, falsafah dan budaya yang diaplikasikan dalam kajian, telah berjaya menghasilkan huraian makna kiasan Melayu yang akhirnya mengetengahkan akal budi penuturnya.


