Analisis Konteks Peristiwa Bahasa Melati Sarawak: Aplikasi Pola Kombinasi Maksim Leech (1983) & Grice (1975)

Authors

  • Sara Beden

Keywords:

Konteks, signifikan, pola kombinasi maksim, peristiwa bahasa, pradata,, pascadata

Abstract

Kajian ini menggabungkan dua model kesopanan, iaitu Leech (1983) dan Grice (1975) yang membentuk Model Pola Kombinasi Maksim Umum (MPKMU). Penggabungan ini membentuk enam pola kombinasi maksim dalam MPKMU, iaitu Pola 1, Pola 2, Pola 3, Pola 4, Pola 5 dan Pola 6 berdasarkan pengaplikasian prinsip hampir sama, tepat dan ekonomis. Berdasarkan pengklasifikasian terhadap empat peristiwa bahasa dalam Melati Sarawak, didapati 3 daripada 4 peristiwa telah diklasifikasikan dalam Pola 1 dan 1 peristiwa diklasifikasikan dalam Pola 3 untuk dianalisis. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis penggunaan pola kesopanan berbahasa dalam peristiwa bahasa berdasarkan MPKMU. Kaedah yang diaplikasi dalam kajian ini ialah kaedah analisis teks dan kaedah kuantitatif yang melibatkan peratusan. Dapatan analisis memperlihatkan 3 peristiwa mematuhi prinsip hampir sama dalam Pola 1 dengan kehadiran Maksim Cara yang mencakupi penggunaan jumlah maksim dan dialog yang digunakan manakala 1 peristiwa mematuhi prinsip ekonomis dalam Pola 3 dengan memenuhi sekurangkurangnya tiga cakupan maksim dalam Pola 3. Dapatan ini juga bervariasi dari segi penggunaan jumlah maksim dan dialog atas faktor konteks. Analisis konteks telah dilakukan terhadap tiga peristiwa dalam Pola 1 dan 1 peristiwa dalam Pola 3. Dapatan memperlihatkan tiga variasi penyediaan konteks wujud, iaitu (i) pascadata, (ii) pradata dan (iii) tiada konteks. Terdapat dua sifat penyediaan konteks, iaitu kewujudan penyediaan konteksnya signifikan (75%) dalam 3 peristiwa manakala satu peristiwa lagi menunjukkan penyediaan konteks Ø (25%). Sehubungan itu, kewujudan konteks memberikan impak yang menyeluruh terhadap kelengkapan maklumat dalam peristiwa bahasa yang dianalisis bagi mengekspresikan kesantunan. Impaknya, kajian ini telah memperlihatkan keperluan atau kepentingan wujudnya keserasian dan ketepatan antara penggunaan unsur-unsur bahasa dengan topik yang menjadi fokus perbincangan dalam setiap peristiwa bahasa.

Downloads

Published

2022-05-25