Metafora Objek Galah dan Kemudi dalam Pantun Melayu: Analisis Semantik Inkuisitif
Keywords:
metafora, pantun, maritim, semantik inkuisitif, akal budiAbstract
Masyarakat Melayu merupakan masyarakat maritim yang terbilang. Semua pengalaman dan pengamatan yang
dilalui semasa pelayaran tercoret dalam pantun tradisional Melayu. Secara jelasnya, kajian-kajian pantun sebelum ini hanya menghuraikan makna pantun secara preskriptif, deskriptif dan terhenti setakat makna kognitif manusia sahaja. Namun, kajian ini membincangkan pantun sehingga ke tahap inkuisitif iaitu melibatkan falsafah dan akal budi Melayu. Kajian ini bertujuan untuk mentafsir makna tersirat metafora ‘galah’ dan ‘kemudi’ yang terdapat dalam pembayang dan makna pantun serta mencungkil falsafah dan pemikiran masyarakat Melayu. Kajian ini memfokuskan objek ‘galah’ dan ‘kemudi’ yang terdapat pada pengangkutan air Melayu. Sejumlah 23 pantun yang mengandungi objek ‘galah’ manakala sebanyak 29 bilangan pantun yang berkaitan dengan objek ‘kemudi’ telah ditemui. Kajian ini mengaplikasikan Teori Relevans melalui konsep ad-hoc dan pendekatan semantik inkuisitif bagi mencungkil falsafah pemilihan kedua-dua objek tersebut. Pendekatan semantik inkuisitif ini menggabungkan data, teori, kognitif dan budaya bagi menyerlahkan falsafah dan pemikiran masyarakat Melayu. Analisis mendapati bahawa objek yang berkaitan maritim mengandungi makna tersirat tentang konsep kehidupan. Kajian ini membuktikan bahawa ‘galah’ dan ‘kemudi’ merujuk kepada haluan hidup berkasih sayang pada peringkat permulaan dan seterusnya. Kajian ini telah memberi sudut pandang baharu dalam penafsiran makna pantun Melayu serta membuka ruang yang lebih luas dalam kajian linguistik iaitu lebih bersifat multidisiplin dan tidak terbatas kepada teori linguistik sahaja.

