Penentuan Kognat Kata antara Bahasa: Penilaian Semula dari Sudut Etimologi
Abstract
Bahasa Melayu banyak meminjam perkataan daripada bahasa asing. Persamaan atau kemiripan antara kata dalam rumpun Austronesia dengan bahasa Indo-Eropah, Semitik, atau Dravidian adalah menerusi peminjaman dan tidak tepat jika dikatakan sebagai kognat. Terdapat dua kemungkinan yang menyebabkan persamaan kosa kata antara bahasa Melayu dengan bahasa dalam rumpun yang sama, iaitu bahasa-bahasa yang disebutkan itu mengalami pertembungan bahasa, atau dipinjam menerusi bahasa Melayu. Jadi, objektif kajian ini adalah untuk membuktikan beberapa perkataan yang dikatakan berkognat sebenarnya merupakan kata pinjaman. Pembuktian ini dibuat berdasarkan kerangka pedoman etimologi Collins (2003). Data kajian ini diambil daripada senarai perkataan pengkaji lepas yang bertandakan ‘kognat’ dalam kaedah leksikostatistik. Sebanyak lima data kata terpilih diambil untuk dianalisis. Analisis kajian menunjukkan bahawa kesemua perkataan terpilih merupakan kata pinjaman. Hal ini dapat dibuktikan menerusi perbandingan bentuk dan makna antara bahasa. Penelitian kepada sejarah yang merangkumi aspek pertembungan bahasa juga perlu ditelusuri dan difahami dalam menentukan hubungan antara kata. Pengkajian dari sudut etimologi amat penting kerana menyumbang kepada ketepatan dapatan dalam kajian leksikostatistik dan glotokronologi.


