Strategi Retorik dalam Teks Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk Membendung Wabak Covid-19 di Malaysia
Abstract
Kejayaan sesuatu ucapan bergantung pada kata-kata yang mampu mempengaruhi pendengar. Oleh itu, kajian ini mengemukakan analisis tentang penggunaan retorik sebagai satu strategi penyampaian ucapan yang berkesan. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menghuraikan strategi retorik yang digunakan dalam teks perutusan khas Perintah Kawalan Pergerakan berdasarkan dua situasi yang berbeza. Teks perutusan khas yang dijadikan data kajian telah dimuat turun menerusi laman sesawang Pejabat Perdana Menteri (PMO) - https://www.pmo.gov.my/speech/. Pendekatan kuantitatif dan kualitatif telah diterapkan bersama strategi retorik yang dipetik daripada Idris Aman (2006). Hasil kajian mendapati bahawa penutur telah memanfaatkan empat daripada lima strategi retorik yang disarankan, iaitu ekspositori, eksplanatori, argumentatif dan ekspresif. Berdasarkan perbandingan antara teks perutusan pertama dengan teks perutusan kedua, penggunaan keempat-empat strategi retorik dalam teks perutusan kedua lebih tinggi berbanding dengan teks perutusan pertama. Namun begitu, berdasarkan perbandingan antara keempat-empat strategi retorik yang digunakan dalam teks perutusan pertama, ekspositori (54.17%) digunakan secara dominan berbanding dengan eksplanatori (20.83%) untuk memaklumkan segala maklumat kepada pendengar. Berdasarkan perbandingan antara keempat-empat strategi retorik yang digunakan dalam teks perutusan kedua pula, eksplanatori (45.10%) lebih banyak digunakan berbanding dengan ekspositori (29.41%) untuk meyakinkan pendengar tentang tindakan yang diambil oleh kerajaan. Perbezaan ini disebabkan oleh situasi semasa penularan wabak COVID-19 yang dialami pada ketika itu. Perbezaan ini membuktikan bahawa situasi semasa yang dialami mempunyai kesan terhadap penggunaan strategi retorik tertentu. Kajian ini boleh dijadikan rujukan kepada pemimpin politik untuk merangka teks ucapannya, lebih-lebih lagi ketika menguruskan krisis kesihatan sedunia.


