Kekangan Terhadap DP Ayat Kewujudan: Suatu Analisis Sintaksis Minimalis
Abstract
Antara binaan ayat yang digunakan oleh penutur natif bahasa Melayu ialah ayat kewujudan berpola AdaDPIndef-FPrep, iaitu DP dalam pola ini bersifat tak tentu (DPIndef). Kajian Mashudi (2003) mendakwa DP dalam pola ini tidak layak menduduki posisi pangkal ayat sebagai subjek. Namun, kajian tersebut tidak berpada untuk menjelaskan kekangan yang dibawa oleh DPIndef yang menghalangnya berfungsi sebagai subjek ayat secara teoretikal. Oleh itu, kajian ini bertujuan mengemukakan analisis kekangan sintaksis DPIndef dalam ayat kewujudan yang berpola Ada-DPIndef-FPrep menerusi perspektif Minimalis. Data yang digunakan dalam kajian ini dipilih daripada ayat kewujudan yang dijana daripada Korpus DBP. Seterusnya, analisis teoretikal pula menggunakan kerangka Minimalis (Chomsky, 2015). Kajian ini mendapati dari segi struktur, DPIndef tidak dianggap sebagai subjek ayat kerana posisinya yang menduduki posisi Objek Langsung (OL) K Dwitransitif [Spes,FK]. Dari segi kekangan sintaktik, DPIndef dalam pola Ada-DPIndef-FPrep tidak berfungsi sebagai subjek kerana dua kekangan. Pertama, fitur definit [+Def] yang terdapat pada posisi [Spes,FKALA] yang menghalang DPIndef dari [Spes,FK] untuk naik ke posisi subjek ayat. Kedua, terdapat subjek nul sub mengisi posisi [Spes,FKALA] yang mengekang DPIndef untuk menduduki posisi tersebut. Oleh itu, kajian ini pelengkap dan menyumbang kepada penjelasan teoretikal untuk menghuraikan kekangan sintaksis DPIndef dalam struktur kewujudan bahasa Melayu dari sudut pandang Minimalis.


