Menyulam Budaya dalam Pengajaran Bahasa Melayu untuk Penutur Asing
Abstract
Pengetahuan tentang nilai budaya merupakan salah satu elemen penting dalam pengajaran bahasa kepada penutur asing. Aspek budaya ini boleh disampaikan secara sepontan, melalui topik-topik tertentu dalam silibus ataupun melalui cara yang disulam satu persatu dalam silibus yang diajar. Pengetahuan berbahasa tidak mudah diperolehi atau difahami oleh penutur asing jika hanya melalui pengajaran secara teori di dalam kelas ataupun hanya berpandukan visual melalui buku pembelajaran. Justeru kajian ini cuba menerapkan pendekatan interaktif budaya yang disulam jalin melalui bab-bab tertentu dalam pengajaran bahasa Melayu untuk penutur asing. Kajian ini cuba melihat sejauh mana pendekatan interaktif budaya ini dapat membantu pelajar antarabangsa, iaitu yang merupakan penutur asing dapat meningkatkan kebolehan berbahasa mereka sekali gus memahami tentang dunia Melayu itu sendiri. Kajian ini dibuat ke atas pelajar antarabangsa yang mengikuti kelas bahasa Melayu di Universiti Tenaga Nasional, UNITEN. Data diperolehi melalui hasil sesi temu bual, pemerhatian dan juga penelitian dokumendokumen yang berkaitan. Dapatan kajian ini juga menunjukkan kebolehan berbahasa penutur asing ini menjadi lebih baik terutamanya dalam aspek penulisan berbanding sesi pengajaran tanpa pengaplikasian interaktif budaya ini. Seperti di UNITEN, pendekatan interaktif budaya ini didapati sangat berkesan dan sesuai diaplikasi kepada pelajar yang beraliran sains yang bersifat teknikal.


