Teknik Matched-Guised: Mendalami Sikap Penutur Bahasa di Kuching, Sarawak

  • Lam Kai Chee
  • Kamila Ghazali
Keywords: sikap bahasa, Kuching, jantina, taraf pendidikan, bahasa pertama

Abstract

Berlandaskan ujian matched-guised, kajian ini bertujuan meninjau sikap bahasa komuniti atas-talian berbangsa Cina di Kuching terhadap bahasa Mandarin Standard, bahasa Mandarin basahan, dialek Hokkien, dan dialek Kantonis dari dimensi status dan kekitaan. Pembolehubah yang dikaji ialah jantina, taraf pendidikan, dan bahasa pertama responden. Didapati kaum lelaki lebih mendampingi variasi tidak standard manakala variasi standard lebih disukai kaum perempuan. Kaum perempuan lebih mementingkan aspek kekitaan variasi standard, meskipun kedua-dua jantina mengakui keserlahannya dari dimensi status. Perbezaan taraf pendidikan tidak mempengaruhi pandangan responden dari dimensi status, tetapi kesannya terserlah pada bahasa Mandarin basahan dari dimensi kekitaan. Turut didapati semakin tinggi taraf pendidikan responden, semakin bernilai variasi standard dalam hati mereka. Kupasan dari segi bahasa pertama menunjukkan penutur dialek melihat variasi standard sebagai paling berstatus. Amnya, penutur dialek menyebelahi variasi tempatan dan vernakular sementara penutur bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin lebih memihak kepada variasi standard.

Published
2014-06-02