Adaptasi Fonologi Kata Pinjaman Thai dalam Dialek Melayu Patani: Analisis Tatatingkat Kekangan
Abstract
Kertas ini bertujuan untuk menghurai dan menjelaskan proses adaptasi fonologi yang berlaku pada kata pinjaman Thai yang
diserap masuk ke dalam dialek Melayu Patani. Sistem fonologi dialek Melayu Patani khususnya yang melibatkan suku kata tidak membenarkan kehadiran rangkap konsonan atau vokal di mana-mana nodus suku kata sama ada di onset nukleus mahu pun di koda. Oleh sebab itu, kata pinjaman Thai yang mengandungi rangkap konsonan dan rangkap vokal lazimnya ditangani oleh proses penyisipan vokal dan peleburan vokal. Kedua-dua fenomena fonologi ini akan dianalisis dengan menggunakan pendekatan tatatingkat kekangan daripada teori Optimaliti. Kekangan yang menghalang kemunculan rangkap konsonan dan rangkap vokal dalam struktur suku kata dikawal oleh kekangan kebertandaan *KOMPLEKS. Pematuhan Kekangan *KOMPLEKS melibatkan pengingkaran kekangan kesetiaan DEP-IO dan UNIFORMITI. Tata tingkat kekangan dalam nahu dialek Melayu Patani adalah kekangan kebertandaan harus mendominasi kekangan kesetiaan.


