Variasi Dialek Melayu di Perak Utara: Analisis Geolinguistik
Abstract
Kebanyakan kajian dialek di Malaysia menggunakan kaedah tradisional bagi melakar sempadan dialek atau isoglos. Kaedah
lakaran adalah tidak bersesuaian dengan kajian saintifik kerana hasil lakarannya membentuk lakaran yang tidak jelas dan kabur. Namun dengan perkembangan teknologi kini, sempadan dialek dapat dihasilkan dengan menggabungkan ilmu linguistik dan ilmu geografi. Makalah ini cuba memaparkan pola variasi dialek bagi leksikal [air] dan [menyusu] dengan membandingkan di antara generasi tua dan generasi muda di Perak Utara menggunakan pendekatan geolinguistik. Pengumpulan data dilakukan menerusi kajian lapangan di 38 buah kampung di kawasan Perak Utara. Data tersebut kemudiannya ditranskripsi dan dianalisis menggunakan pendekatan GIS. Negeri Perak yang bersempadan dengan Kedah di sebelah barat laut, Selatan Thailand di sebelah utara dan Kelantan di timur laut telah menghasilkan campuran dialek-dialek Melayu, terutamanya di bahagian utara Perak. Perbezaan dialek di negeri-negeri jiran menjadi pengaruh utama pada dialek Melayu negeri Perak. Buktinya, untuk leksikal [air] terdapat 13 varian dan bagi leksikal [menyusu] terdapat 18 varian yang dituturkan di Perak Utara. Hal ini jelas menunjukkan bahawa faktor geografi, demografi, sempadan, sikap dan migrasi menjadi faktor penentu berlakunya variasi leksikal dan penyebarannya di kawasan penyelidikan tersebut.


