Ciri-Ciri Perbualan dan Strategi Komunikasi Pemandu Pelancong Tempatan dalam Bahasa Jepun
Abstract
Komunikasi berlaku sama ada secara sehala atau dua hala, dalam bentuk pertuturan, pembacaan atau penulisan. Budaya pula adalah kebiasaan atau kelaziman perilaku atau cara pemikiran seseorang atau sesuatu masyarakat. Komunikasi silang budaya biasa berlaku dalam pertuturan apabila kita bercakap dengan orang yang berbeza jantina, bahasa, bangsa, agama dan status sosial. Pemandu pelancong perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi antara budaya demi mencapai komunikasi yang efektif bagi membolehkan penyaluran maklumat yang tepat dan mewujudkan komunikasi yang berkesan. Komunikasi silang budaya memerlukan penelitian terhadap ciri-ciri perbualan dan strategi komunikasi yang digunakan oleh pemandu pelancong. Kertas kerja ini meneliti ciri-ciri perbualan dan strategi komunikasi berlandaskan konteks komunikasi silang budaya antara pemandu pelancong Malaysia berbahasa Jepun dan pelancong Jepun di Kuala Lumpur. Perbandingan antara pemandu pelancong yang fasih
dan tidak fasih berbahasa Jepun dilakukan. Responden kajian adalah dua orang pemandu pelancong berlesen yang boleh
berbahasa Jepun dan mempunyai lesen sebagai pemandu pelancong berbahasa Jepun. Tempoh perbualan antara pemandu
pelancong dan pelancong Jepun yang dirakam adalah selama dua sesi lawatan. Dua orang pemandu pelancong R1 (wanita) dan R2 (lelaki) adalah berbangsa Melayu. Data kajian diperolehi daripada dua rakaman audio dan visual interaksi pemandu pelancong dan pelancong Jepun semasa pakej FIT (Free Independence Travellers) ditranskripsi secara penuh. Hasil kajian ini mendapati strategi komunikasi kategori pencapaian banyak digunakan bagi mewujudkan komunikasi berkesan oleh pemandu pelancong yang kurang fasih berbahasa Jepun. Manakala strategi perbualan seperti pengambilan giliran yang bersesuaian, penggunaan bentuk kesopanan diikuti selitan humor dan pujian dikenal pasti antara ciri-ciri yang diaplikasikan oleh pemandu pelancong fasih berbahasa Jepun.


