Kekwat: Di Mana Bahasa dan Akal Budi Bangsa Kita?
Abstract
Bahasa tidak sekadar boleh diteliti berdasarkan bentuk semata-mata, malah apa yang lebih penting, bahasa juga perlu diselidiki daripada aspek falsafah untuk menggambarkan akal budi sesuatu bangsa. Berbahasa dengan baik mampu memacu penggunanya untuk turut berkelakuan baik, menyantuni adab, dan sentiasa berada dalam lingkungan pengaruh yang baik. Namun dewasa ini, keadaan seolah-olah telah berubah. Matlamat berbahasa hanya berfokus kepada penyampaian informasi. Sekiranya informasi dapat diterima dengan baik, maka kaedah berbahasa tersebut dianggap betul. Maka tidak hairanlah sekiranya semakin cepat dan pantas sesuatu informasi tersebar, maka semakin dianggap selesalah penggunaan sesuatu bahasa tersebut, serta aktif dan cepat menular dari sekelompok pengguna kepada sekelompok pengguna yang lain. Berdasarkan premis tersebut, kertas kerja ini bertujuan meneliti penggunaan kata [kekwat] yang kerap digunakan dalam media sosial. Data diselisik menerusi pangkalan data WebCorp dan dianalisis menggunakan perisian TextSTAT 2.9. Menerusi teori Prosodi Semantik, tiga prinsip utama penganalisisan kata akan dijalankan iaitu analisis pola penggunaan, analisis makna dan analisis nilai kata. Hasil analisis menunjukkan bahawa kata [kekwat] digunakan untuk merujuk lelaki atau perempuan yang berkelakuan sombong, membawa makna sombong dan digunakan dalam lingkungan pengaruh yang bersifat pejorasi. Ketiga-tiga analisis ini juga menjelaskan penggunaan kata ini sebagai kata yang kasar dan negatif.


