Proses Penengahan Vokal Rendah /a/ Dalam Lagu Melayu Asli

  • Khairul Faiz Alimi
  • Tajul Aripin Kassin
Keywords: Lagu Melayu asli, fonologi, proses fonologi, proses penengahan vokal

Abstract

Lagu Melayu Asli merupakan lagu kesenian masyarakat Melayu yang menggunakan pantun sebagai lirik lagu. Berdasarkan melodi yang mendayu-dayu, kebanyakan lagu Melayu asli berkisar tentang emosi, kesedihan, ratapan, nasib, percintaan, dan juga berunsurkan nasihat. Namun, tema yang diwujudkan masih mengisi tujuan utama penghasilan lagu iaitu sebagai hiburan dan melambangkan kebudayaan masyarakat setempat. Artikel ini cuba untuk menelusuri proses fonologi yang terpancar dalam nyanyian lagu Melayu asli. Proses fonologi yang difokuskan adalah proses penengahan vokal rendah /a/. Sebanyak sepuluh (10) buah lagu Melayu asli daripada penyanyi yang berbeza telah dijadikan sebagai data. Data kajian di analisis dengan menggunakan Teori Fonologi Generatif (Chomsky & Halle, 1968). Setiap ujaran dalam nyanyian lagu Melayu Asli dibuat perbandingan dengan huraian penengahan vokal rendah /a/ bahasa Melayu standard (Farid M. Onn, 1980). Hasilnya, dalam bentuk kata dasar, nyanyian lagu Melayu asli mempunyai rumus yang selaras dengan rumus penengahan vokal /a/ bahasa Melayu standard. Sebaliknya, rumus penengahan vokal /a/ bahasa Melayu standard menghadapi masalah untuk meramal penengahan vokal lagu Melayu Asli yang berlaku dalam kata dasar + partikel /-lah/ dan enklitik /-a/. Hal ini kerana rumus penengahan vokal bahasa Melayu standard dihalang di sempadan akhir. Justeru itu, analisis mencadangkan partikel dan enklitik mempunyai sempadan yang berbeza dengan sempadan akhiran yang membenarkan proses penengahan vokal berlaku dalam lingkungan sempadan partikel dan enklitik.

Published
2018-06-01