Kecelaruan Morfologi Dalam Penulisan Bahasa Melayu Oleh Penutur Asing
Abstract
Aspek morfologi merupakan antara aspek yang sering menimbulkan kesulitan pada para penutur asing dalam pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Hal ini menjadi begitu sukar kerana Bahasa Melayu ialah jenis bahasa aglutinatif yang banyak memanfaatkan imbuhan untuk membentuk kata baharu sekaligus mengubah makna kata dan fungsi nahu kata/frasa dalam ayat. Manakala jenis bahasa ibunda kebanyakan penutur asing ini ialah jenis fleksi dan isolatif yang tidak menerima imbuhan sebaliknya perubahan bentuk katanya berlaku akibat perbezaan jantina, bilangan (jamak atau tunggal ), kala dan kasus dan juga perubahan makna kata kerana perbezaan nada atau ton (bahasa isolatif atau tonis). Hal ini menyebabkan penutur asing ini tidak dapat memadankan bentuk-bentuk kata berimbuhan ini dengan kata yang mempunyai makna yang sama dalam bahasa ibundanya apatah lagi untuk memadankan bentuk-bentuk imbuhan /morfem terikat ini dengan bentuk yang tidak wujud dalam bahasa ibundanya. Ilmu morfologi bahasa Melayu menjadi lebih sukar kerana setiap imbuhan mendukung makna yang tertentu dan tidak pula terhad pada satu, misalnya imbuhan peN- yang mendukung makna orang/tukang dan alat. Makna imbuhan ini tidak dapat dicerakin oleh penutur asing kerana tiada padanan satu lawan satu antara bahasa Melayu dengan bahasa ibundanya. Dalam konteks pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing/bahasa kedua, maklumat morfologi khususnya imbuhan dan proses pengimbuhan merupakan maklumat baharu bagi penutur asing dan perlu diajarkan dengan teliti, peringkat demi peringkat berdasarkan pendekatan dan kaedah yang bersesuaian, dengan mengambil kira hal yang tersebut di atas. Atas sebab kesukaran aspek morfologi ini, kertas kerja ini akan mengetengahkan kecelaruan aspek morfologi yang timbul khususnya penggunaan kata, binaan frasa dan pengimbuhan dalam penulisan pelajar asing khususnya yang berasal dari timur tengah dan China. Berdasarkan penulisan ini, kecelaruan ini dapat dikelaskan mengikut jenis kesalahannya dan apakah bentuk penyelesaian yang boleh dicadangkan bagi mengatasi masalah tersebut.


