Strategi Membaca Puisi Arab Moden: Kajian Berasaskan Gender Pembaca

  • Nik Farhan Mustapha
  • Pabiyah Toklubok@Hajimaming
  • Muhd Zulkifli Ismail
Keywords: bahasa Arab; strategi membaca; sastera Arab; puisi Arab Moden; gender

Abstract

Pembelajaran sastera Arab yang ditawarkan di beberapa Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia sebagai satu pengkhususan menuntut pelajar membaca dan memahami pelbagai bentuk puisi, sama ada puisi pada era Jahiliyah, Umayyah, Abbasiyah mahupun Puisi Moden. Dalam proses pembacaan dan pemahaman puisi ini, kajian lepas telah membuktikan bahawa para pelajar menggunakan pelbagai jenis strategi, dan penggunaan strategi ini mempunyai kaitan dengan gender pembaca. Oleh itu, kajian yang menggunakan pendekatan kuantitatif ini cuba mengenal pasti strategi membaca puisi Arab dalam kalangan pelajar lelaki dan perempuan. Responden terdiri daripada 119 orang pelajar yang mendaftar kursus sastera Arab di tiga (3) buah IPTA di Malaysia. Mereka diminta untuk menjawab soal selidik setelah membaca satu (1) teks puisi Arab Moden. Data kemudiannya dianalisis secara deskriptif dan inferensi berdasarkan lima (5) jenis strategi; iaitu metakognitif, kognitif, memori, tampungan, dan afektif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa responden kerap
menggunakan strategi semasa membaca teks puisi Arab Moden khususnya strategi tampungan, kognitif dan afektif. Kajian juga mendapati bahawa pelajar perempuan lebih kerap menggunakan strategi tampungan berbanding pelajar lelaki sedangkan kajian-kajian sebelum ini yang merekodkan pelajar perempuan lebih cenderung menggunakan strategi memori.

Published
2019-06-03