Golongan Kata Kerja: Korelasi antara Kecekapan Tatabahasa dengan Kecekapan Pragmatik dalam Kalangan Remaja Malaysia
Abstract
Kajian ini dilakukan dengan tujuan utama untuk melihat korelasi antara tahap kecekapan tatabahasa dengan tahap kecekapan pragmatik yang berasaskan aspek golongan kata kerja dalam kalangan remaja Malaysia. Remaja Malaysia yang dimaksudkan terdiri daripada para pelajar tingkatan enam dari dua buah sekolah dengan masing-masing mewakili kawasan bandar dan luar bandar yang terletak di daerah Kluang, Johor. Data kajian yang dianalisis melibatkan data kuantitatif yang diperoleh melalui borang soal selidik yang digunakan sebagai instrumen kajian. Hasil daripada analisis korelasi Pearson yang telah dilakukan jelas menunjukkan bahawa tidak terdapat korelasi yang signifikan antara tahap kecekapan tatabahasa dengan tahap kecekapan pragmatik yang berasaskan aspek golongan kata kerja dalam kalangan pelajar tingkatan enam. Secara keseluruhannya, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa huraian tentang aspek golongan kata kerja seperti yang dikemukakan dalam Tatabahasa Dewan sememangnya masih belum mapan atau mantap sepenuhnya. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk Tatabahasa Dewan mengalami transformasi dengan cara memperbaik huraian tentang aspek golongan kata kerja dengan melibatkan contoh-contoh penggunaan kata kerja yang boleh mendukung maksud tersirat.


