Bentuk Ekspresi Emosi ‘takut’ dalam Dunia Siber: Satu Kajian Rintis
Abstract
Dewasa ini, penggunaan media sosial sebagai salah satu daripada platform komunikasi sudah tidak asing dalam kalangan masyarakat digital. Platform komunikasi siber dalam bentuk rangkaian laman sosial seperti Instagram, facebook, twitter, dan linkedIn telah membantu pembentukan beberapa kumpulan sosial siber. Rakan-rakan yang berada dalam kumpulan sosial siber yang sama akan berkongsi bukan sahaja maklumat digital malah mereka turut berkongsi emosi, pemikiran dan minat yang sama. Bertitik tolak daripada perkembangan rangkaian media sosial serta suapan berita yang dikongsi dalam kumpulan sosial siber, maka fokus artikel ini untuk mengenal pasti bentuk ekspresi emosi ‘takut’ dalam kumpulan sosial siber khususnya Facebook. Kajian dilaksanakan dengan memanfaatkan koleksi data raya (big data) yang luas dalam dunia siber serta berpandukan kaedah kajian dalam bidang linguistik korpus. Analisis dimulakan dengan mengenal pasti bentuk kata yang mengandungi ekspresi emosi gender yang dikongsi dalam suapan berita kumpulan sosial siber dan diselisik menggunakan prinsip linguistik korpus. Setiap tema yang terbentuk dalam data akan ditentukan kedudukan maknanya berdasarkan penggunaan kata yang mewakili ekspresi emosi ‘takut’ sebelum pemahaman makna keseluruhan ekspresi emosi tersebut dibincangkan. Dapatan awal kajian ini telah membuktikan bahawa wujud bentuk kata ekspresi emosi ‘takut’ yang memberi makna kepada kewujudan kesihatan mental melibatkan gejala tekanan mental. Antara bentuk ekspresi emosi ‘takut’ yang dapat dikesan dalam kumpulan sosial siber ialah gejala tekanan mental seperti kebimbangan, kecelaruan dan kemurungan.
Kajian ini secara tidak langsung telah memanfaatkan koleksi data raya yang luas dalam dunia siber sekaligus mampu memberi manfaat kepada perkembangan dunia penyelidikan linguistik secara khususnya.


