Dialektologi Hulu Perak Utara: Implementasi Sinkronik
Abstract
Kajian ini meneliti varian Hulu Perak Utara (HPU) yang ditinjau dengan menggunakan kaedah geografi dialek. Penyelidikan ini menggunakan pendekatan kajian kualitatif sepenuhnya. Manakala aspek yang dikaji untuk penyelidikan ini adalah sistem fonologi dan leksikal varian HPU untuk melihat ciri linguistik bagi setiap varian yang wujud di HPU. Bentuk-bentuk vokal, konsonan dan leksikal dilihat daripada segi kesejajaran dan penyebarannya dalam ruang geografi, sama ada menimbulkan persamaan atau perbezaan. Perbezaan yang timbul kemudiannya dipaparkan dalam bentuk peta untuk melihat kawasan-kawasan yang berbeza realisasi sebutan sesuatu kata itu. Berdasarkan kajian, beberapa dapatan telah diperoleh, iaitu yang pertamanya wujud kesejajaran fonologi bagi vokal dan konsonan dalam varian HPU. Kedua, data leksikal memperlihatkan kesejajaran yang sangat berlainan antara satu kawasan dengan kawasan yang lain, bahkan
sering berlaku tumpang tindih antara kawasan. Ketiga, varian di HPU dibahagikan kepada tiga kelompok kawasan, yang masing-masingnya mempunyai ciri linguistik yang berbeza antara satu sama lain. Melalui kajian ini, hasil dapatan menyimpulkan bahawa varian HPU mempunyai keunikan yang tersendiri walaupun ada sebahagian kawasan yang menerima pengaruh dialek pendatang, namun berdasarkan penyesuaian daripada penutur tempatan terhadap dialek yang diterima menjadikan dialek Hulu Perak Utara ini sebenarnya mempunyai keistimewaan dan keunikan yang tersendiri yang dapat dilihat daripada ciri-ciri
linguistiknya. Jelaslah berlakunya pergerakan dalaman di dalam kawasan HPU ini.


