Analisis Representasi Sintaksis Pasif /ɲᴐ/ Dialek Melayu Patani Berdasarkan Teori Role and Reference Grammar
Abstract
Makalah ini bertujuan untuk menghurai representasi sintaksis bagi ayat pasif yang ditandai oleh bentuk pasif /ɲᴐ/ dalam Dialek Melayu Patani (DMP), berdasarkan Teori Role And Reference Grammar (RRG). Data kajian dikumpulkan melalui teknik rakaman, teknik temu bual dan teknik pemerhatian. Seramai 10 orang informan yang merupakan penutur DMP jati di Patani, telah dipilih bagi tujuan pengumpulan data. Dalam DMP, ayat pasif dengan penanda /ɲᴐ/ boleh hadir dengan /di/ dan /kᴐʔ/ sebelum FN pelaku, dan boleh juga muncul di posisi hadapan ayat. Gambaran representasi ini ditunjukkan melalui struktur klausa yang mana dalam RRG, struktur klausa digambarkan melalui struktur berlapisan klausa (SBK) yang mengandungi unjuran konstituen dan operator. Struktur klausa ayat pasif dengan penanda /ɲᴐ/ menunjukkan lapisan pertama iaitu lapisan paling dalam bagi klausa ialah nukleus yang berfungsi sebagai predikat ialah kata kerja pasif /ɲᴐ/ yang menunjukkan aktiviti oleh pelaku (actor). Lapisan seterusnya, ialah inti (core) berfungsi sebagai argumen bagi predikat dalam ayat pasif /ɲᴐ/ DMP. Akhirnya, lapisan paling luar bagi SBK dalam ayat pasif /ɲᴐ/, ialah klausa yang mempunyai dua bahagian iaitu bahagian inti dan sipian. Sipian ialah unsur bukan argumen bagi predikat. Selain mengandungi komponen nukleus, inti dan sipian dalam SBK, SBK juga mengandungi slot- prainti (SPrl)
dan slot pascainti (SPal) dalam ayat pasif /ɲᴐ/ DMP di posisi dalam klausa tetapi di luar inti. Kesimpulannya, makalah ini telah menunjukkan struktur konstituen binaan pasif /ɲᴐ/ DMP yang menunjukkan peranan aktor dan pengalami dalam binaan pasif. Kajian ini juga secara tidak langsung telah menyumbang kepada
pendokumentasian bahasa Melayu di kawasan Selatan Thailand.


