Perbandingan Kata Kerja Tak Akusatif dengan Kata Kerja Tak Ergatif Bahasa Melayu : Analisis Aktionsart

  • Mughni Murni Bustamam
  • Maslida Binti Yusof
Keywords: kata kerja tak akusatif, kata kerja tak ergatif, Aktionsart, kata kerja gerak

Abstract

Makalah ini bertujuan membandingkan kata kerja tak akusatif dengan kata kerja tak ergatif bahasa Melayu berdasarkan kelas Aktionsart. Pengelasan Aktionsart melibatkan penstrukturan kata kerja berdasarkan hubungannya dengan aspek masa. Bagi tujuan tersebut, makalah ini memfokus kepada kelas kata kerja gerak
iaitu kata kerja gerak yang secara inheren bersifat berarah dan kata kerja cara gerak. Kajian ini bersifat deskriptif iaitu mencuba untuk menjelaskan sesuatu fenomena bahasa. Tiga contoh perkataan diambil daripada setiap kata kerja iaitu kata kerja datang, sampai dan masuk mewakili jenis kata kerja yang secara
inheren bersifat berarah manakala kata kerja berjalan, berenang dan merangkak mewakili jenis kata kerja cara gerak. Kedua-dua kata kerja tak akusatif dan tak ergatif ini dibandingkan melalui lima ujian sintaksis dan semantik yang dianjurkan oleh Van Valin (2005). Untuk contoh ayat, kajian ini menggunakan pangkalan data korpus bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka. Berdasarkan hasil ujian, didapati kata kerja tak akusatif gerak yang secara inheren bersifat berarah tidak boleh hadir dengan kata bantu progresif, tidak bersifat dinamik, tidak boleh dikawal, tidak mempunyai tempoh masa dan mempunyai ciri penamat. Manakala kata kerja tak ergatif cara gerak boleh menerima kata bantu progresif, dinamik, lakuan boleh dikawal, mempunyai tempoh masa tetapi tidak mempunyai ciri penamat. Berdasarkan pengelasan Aktionsart, hasil ujian ini menunjukkan kata kerja tak akusatif gerak merupakan kelas pencapaian dan kata kerja tak ergatif cara gerak merupakan kelas aktiviti. Sehubungan itu, makalah ini telah menjelaskan ciri semantik kata kerja tak akusatif dan kata kerja tak
ergatif bahasa Melayu.

Published
2020-06-01