Ketaksaan Leksikal Dalam Perbualan Masyarakat Peniaga Terengganu
Abstract
Ketaksaan leksikal sama ada perkataan, frasa atau ayat timbul apabila sempadan makna tidak jelas dan tafsiran dan kefahaman ketaksaan leksikal adalah bergantung kepada konteks. Justeru objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti dan menganalisis unsur ketaksaan leksikal dalam perbualan masyarakat peniaga Terengganu menggunakan Teori Relevans oleh Sperber dan Wilson (1986). Sebanyak 18 orang responden dipilih secara rawak dalam kalangan peniaga di Terengganu. Data dikumpul menggunakan kaedah pemerhatian dan temu bual. Hasil kajian mendapati bahawa masyarakat peniaga Terengganu sangat gemar dan suka menggunakan unsur ketaksaan dalam perbualan mereka secara semula jadi. Hal ini dapat dibuktikan dalam temuan data empiris iaitu terdapat unsur ketaksaan dalam bentuk kata. Kekaburan penggunaan ganti nama ‘dia’ bagi bendabenda tidak bernyawa telah dapat diselesaikan setelah dianalisis menggunakan Teori Relevans. Tiap-tiap pola ganti nama ini mempunyai makna dan mesej yang berbeza serta ada muslihat dan alasan yang tersendiri. Segala
maklumat dalam ujaran itu sendiri memberikan jawapan kepada masalah ketaksaan ganti nama yang timbul. Ketaksaan kata ganti nama ‘dia’ dapat diselesaikan berdasarkan ujaran dan konteks ujaran itu sendiri. Maklumat tambahan yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah kekaburan ganti nama ‘dia’ tersedia dalam ujaran itu. Justeru, kajian ini telah dapat mempertingkatkan dan menambah bahan rujukan mengenai kajian ketaksaan leksikal dalam perbualan masyarakat Melayu.


