Kesejajaran Kesantunan Bahasa dalam Perutusan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983)

  • Sara Beden
Keywords: kesejajaran, maksim, pemimpin, perutusan pakej rangsangan ekonomi prihatin, kesantunan

Abstract

Dalam konteks masyarakat Malaysia, kesantunan amat dituntut demi menjaga integrasi nasional yang wujud agar terus terpelihara. Setiap ahlinya, hatta pemimpin negara wajib membudayakan kesantunan yang terangkum dalamnya sifat santun dalam perilaku, pertuturan dan perhubungan sosial. Pemimpin dan
kesantunan berbahasa memiliki simbiosis yang signifikan kerana dalam situasi yang tidak menyenangkan rakyat, pemimpin wajar menjadi penawar menerusi kata-kata dan ungkapan yang muluk-muluk untuk memberi manfaat kepada rakyat. Penularan wabak pandemik COVID 19 telah menyebabkan kerajaan Malaysia mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan dengan tujuan menghentikan penularan wabak ini. Justeru, rakyat Malaysia terpaksa mengadaptasi norma dan normal baharu dalam kehidupan seharian apabila tidak dapat melakukan rutin harian terutama untuk mencari rezeki. Rentetan itu, kerajaan yang diwakili Perdana Menteri telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin untuk menyantuni kebajikan rakyat menerusi perutusannya. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menganalisis kesejajaran perutusan oleh pemimpin dalam perutusan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin dengan Prinsip Kesopanan Leech (1983). Kajian ini mengaplikasikan kaedah kualitatif dan kepustakaan. Dapatan memperlihatkan bahawa kedua-dua perutusan menunjukkan kesejajaran yang signifikan dengan lima maksim, iaitu Kebijaksanaan, Kedermawanan, Sokongan, Persetujuan dan Simpati dalam Prinsip Kesopanan Leech. Pengaplikasian kelima-lima maksim dalam kedua-dua data korpus mengintepretasikan bahawa kesantunan berbahasa amat signifikan dan dititikberatkan dalam perutusan agar penyampaian maklumat lebih berkesan dan bebas konflik dalam menyantuni komuniti wacana. Pengaplikasian kelimalima maksim diperlihatkan menerusi kepelbagaian atau variasi pendekatan yang diekpresikan secara berhemah, bertatasusila selain menzahirkan empati seorang pemimpin dalam menyantuni dan mendekati masalah yang ditanggung rakyat dalam tempoh PKP. Kesimpulannya, pelestarian dan pemupukan budaya kesantunan dalam amalan komunikasi sekali gus mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tonggak tamadun bangsa.

Published
2020-06-01