Ketersiratan Makna Kata Ganda dalam Dialek Melayu Sarawak
Abstract
Keindahan dan ketinggian berbahasa sesuatumasyarakat merupakan salah satu alat pengukur ketamadunan sesuatu negara bangsa. Oleh hal demikian, maka setiap masyarakat di dunia mempunyai variasi keindahan dan ketinggian berbahasa tersendiri yang menjadi identiti masyarakatnya. Menerusinya juga, wujud pelbagai karya atau manuskrip tradisi yang dipusakai dan menjadi lambang kemegahan sesuatu masyarakat. Justeru, bahasa memainkan peranan penting dalam sistem komunikatif sesuatu masyarakat dalam memanifestasikan niat dan tujuan. Dalam masyarakat Melayu yang mengamalkan sistem komunikatif yang
berbudi bahasa dilihat berjaya mengangkat jati diri dan identiti nasional yang dipusakai. Maka, dalam makalah ini kajian difokuskan kepada keunikan gaya berbahasa masyarakat Melayu khususnya di Sarawak dalam menjayakan sesuatu komunikasi. Masyarakat ini dilihat sering menggunakan pengulangan kata dalam interaksi sosial yang bertujuan untuk menyampaikan hasrat atau maksud yang diingini. Oleh itu, dalam makalah ini pengkaji memanfaatkan penggunaan kata ganda dalam dialek Melayu Sarawak dengan meneliti dari segi ketersiratan makna gandaan tersebut dalam perbualan komunikatif komuniti ini. Dengan
adanya kajian ini dapat memperlihatkan dan menyerlahkan fungsi atau tujuan sesuatu penggunaan kata yang berulang dalam menyampaikan mesej interaksi tersebut.


