Remaja dan Penguasaan Leksikal Ilmu Tempatan
Abstract
Kajian ini memfokus kepada penguasaan leksikal ilmu tempatan dalam kalangan remaja. Ilmu tempatan dalam kajian ini merujuk kepada leksikal dalam domain kuih tradisional Melayu. Idea tentang kajian ini tercetus memandangkan lunturnya penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan remaja disebabkan penyerapan leksikal asing dan juga pembentukan leksikal baharu sebagai wahana komunikasi hasil ciptaan pengguna bahasa yang kreatif. Hal ini pernah disuarakan oleh Awang Sariyan (2007) bahawa keadaan semakin parah apabila generasi muda gagal menguasai bahasa Melayu dan hanya menerimanya sebagai bahasa rasmi
seperti yang terkandung dalam kontrak sosial. Selain itu, remaja tidak didedahkan dan tidak mengetahui kewujudan sesuatu leksikal dalam sesuatu domain ilmu tempatan serta tidak memahami maksud leksikal tersebut. Objektif kajian ini adalah untuk menentukan tahap penguasaan kosa kata ilmu tempatan dalam kalangan remaja; dan mengenal pasti mekanisme untuk meningkatkan penguasaan leksikal ilmu tempatan dalam kalangan remaja. Teori Sosiokognitif diterapkan dalam kajian ini bagi menghuraikan perkaitan antara persekitaran dengan pemikiran remaja dalam pemerolehan kosa kata tradisional. Kajian ini
menggunakan kaedah kajian lapangan dengan instrumen kajian soal selidik, Skala Ukur Pengetahuan Kosa Kata atau Vocabulary Knowledge Scale (VKS) digunakan dalam instrumen temu bual dan ujian Skema Pengecaman Kosa atau Vocabulary Recognition Task (VRT) turut digunakan bagi menentukan tahap penguasaan leksikal ilmu tempatan dalam kalangan remaja. Hasil kajian menunjukkan bahawa faktor pengalaman dan persekitaran remaja memberi refleksi kepada kognitif remaja dalam penguasaan sesuatu leksikal. Tahap penguasaan remaja dalam leksikal ilmu tempatan berada pada tahap sederhana dan masih memerlukan mekanisme untuk meningkatkan penguasaan ilmu tempatan dalam kalangan remaja.


