Penguasaan Tatabahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar di Universiti Teknologi Malaysia
Abstract
Kajian ini merupakan satu kajian deskriptif untuk mengenal pasti tahap penguasaan tatabahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing di Universiti Teknologi Malaysia. Seramai 14 orang pelajar telah dipilih sebagai sampel kajian. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah borang soal selidik yang mengandungi 42 item. Data yang diperoleh telah diproses dan dianalisis dengan menggunakan Pakej Statistik Untuk Sains Sosial (SPSS) untuk mendapatkan data berbentuk frekuensi dan peratusan. Hasil kajian mendapati bahawa tahap penguasaan asas tatabahasa Melayu terutama dalam aspek kemahiran menulis dan bertutur berada pada tahap yang baik sekiranya mendapat bantuan daripada tenaga pengajar. Manakala penggunaan kamus merupakan faktor terpenting dalam proses penambahan kosa kata serta penggunaan tatabahasa yang betul. Hasil kajian juga mendapati faktor persekitaran dan rakan sebaya memainkan peranan dalam membantu pelajar menguasai tatabahasa asas dalam bahasa Melayu. Namun, secara keseluruhannya, tahap penguasaan tatabahasa Bahasa Melayu pelajar adalah sederhana.


