Pilihan Bahasa di Sempadan Malaysia-Thailand berdasarkan Analisis Domain

  • Hayati Lateh
  • Mohammad Fadzeli Jaafar
  • Mohammed Azlan Mis
  • Norsimah Mat Awal
Keywords: lingua franca; sempadan Malaysia-Thailand; domain; pilihan bahasa

Abstract

Makalah ini bertujuan untuk mengenal pasti bahasa perantaraan utama atau lingua franca yang digunakan di sempadan MalaysiaThailand dengan mengaplikasikan teori domain yang dipelopori oleh Fishman (1972). Konsep ini telah mencadangkan pelbagai domain seperti domain keluarga, perniagaan, jiran tetangga, kawan, pekerjaan dan agama yang boleh digunakan sebagai asas dalam kajian pemilihan bahasa dalam kalangan komuniti yang boleh bertutur pelbagai bahasa seperti komuniti di sempadan Malaysia-Thailand. Kawasan kajian ialah di Rantau Panjang- Golok dan Pengkalan Kubur-Takbai. Fokus kajian ini pula berkaitan dengan domain perniagaan dan keluarga kerana kawasan kajian ini terkenal sebagai destinasi membeli belah utama di utara Malaysia. Data kajian ini diperoleh melalui kerja lapangan, iaitu soal selidik dan temu bual. Sejumlah 200 responden yang mewakili kedua-dua sempadan telah dipilih sebagai sampel kajian. Data kajian dianalisis secara peratusan untuk menentukan jumlah pilihan bahasa. Dapatan kajian menunjukkan bahawa responden Malaysia menggunakan pelbagai bahasa dan dialek apabila mereka berkomunikasi dengan responden dari Thailand. Responden yang berumur 21-40 tahun lebih cenderung menggunakan dialek Kelantan, bahasa Thai standard dan bahasa Malaysia. Responden yang berumur 40 ke atas pula hanya memilih dialek Kelantan. Ini menunjukkan pemilihan bahasa di sempadan Malaysia- Thailand dipengaruhi oleh umur responden. Hasil kajian juga menunjukkan responden dari Malaysia dan Thailand lebih cenderung mengguna dialek Melayu Kelantan dan dialek Melayu Patani dalam domain kekeluargaan. Ini menunjukkan bahawa dialek Melayu Kelantan ialah bahasa utama di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berbanding dengan bahasa Thai. Dengan kata lain, responden Thailand di sempadan
Malaysia – Thailand telah berasimilasi dengan penduduk Malaysia.

Published
2013-12-02