Metafora KASIH Dalam Teks Melayu Tradisional: Analisis Teori Hibrid
Abstract
Kertas ini bermatlamat untuk meneliti metafora KASIH dalam Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Tuhfat Al-Nafis. Kajian menggunakan data korpus dari Malay Concordance Project (MCP) yang diperoleh secara atas talian di laman sesawang http://mcp.anu.edu.au/. Dalam kajian ini, unsur metafora KASIH dianalisis berbantukan Teori Hibrid yang diperkenalkan oleh Tendahl (2009) dan dikemaskan oleh Stöver (2010). Teori yang mengacukkan pendekatan linguistik kognitif dan pragmatik ini ditunjangi oleh Model Proses Tiga Serangkai (Triple Processing) melibatkan tiga proses yang saling melengkapi iaitu simulasi, perubahan penyampaian dan proses pembuktian. Proses ini akan menghasilkan satu rantau konsepsi yang memerikan konsep leksikal atau makna terhadap kata atau frasa yang bersifat figuratif dan implisit. KASIH merujuk kepada perasaan sayang terhadap seseorang atau sesuatu, juga sinonim dengan cinta dan penggunaannya adalah bergantung kepada konteks. Sebanyak 30 data korpus metafora KASIH telah dianalisis dalam karya agung Melayu yang terpilih sebagai suatu mekanisme untuk merefleksi
dan memanifestasikan rantau konsepsi, pemikiran dan kognitif orang Melayu dahulu kala. Berdasarkan pembuktian linguistik, metafora emosi KASIH dalam karya agung Melayu tersebut jelas memaparkan ikatan atau jalinan kesepakatan dan hubungan sosial antara suami isteri, keluarga, saudara mara, rakan taulan, golongan yang memerintah dan yang diperintah.


