Ujaran Penutur Perempuan Lebih Berprestij dan Bersistematik? Satu Penelitian Melalui Perspektif Fonetik Akustik
Abstract
Terdapat beberapa sarjana bahasa Melayu yang mengatakan bahawa bunyi hentian glotis hadir dalam ujaran kata-kata seperti /maaf/, /taat/, /fiil/, /soal/, /diubah/, /diolah/ dan seumpamanya. Tanggapan mereka ini dibuat melalui perspektif rumus fonologi ataupun berdasarkan perspektif auditori. Umumnya, mereka menganggap kualiti ujaran penutur sama ada lelaki atau perempuan adalah sama. Walau bagaimanapun, dalam hal ini aspek kualiti suara perlu diambil kira bagi memastikan bunyi yang hadir itu memiliki ciri akustik atau kualiti bunyi hentian glotis. Kajian ini merupakan satu penelitian terhadap kualiti suara dalam penghasilan bunyi hentian glotis bahasa Melayu melalui perspektif fonetik akustik. Kaedah analisis spektrografik telah diguna pakai bagi menjelaskan perkara ini. Data-data bagi sampel pertuturan telah diungkap dalam bentuk spektrogram bagi menjelaskan ciri-ciri akustik yang ada. Kajian ini mendapati terdapat perbezaan kualiti suara penutur lelaki dan perempuan yang berlainan set umur. Sampel ujaran yang dihasilkan oleh penutur yang berbeza juga mempamerkan ciri akustik yang berbeza bagi bunyi yang sama. Data penutur perempuan didapati lebih mempamerkan hadirnya bunyi hentian glotis berbanding lelaki. Dapatan kajian ini pastinya dapat menyumbang dalam memperkasa dan meluaskan lagi cakupan bidang ilmu fonetik bahasa Melayu.


