Persepsi Pelajar Melayu Terhadap Sifat dan Konsep Malu Orang Melayu
Abstract
Sifat malu merupakan akhlak terpuji yang ada dalam diri setiap individu. Bagi orang Melayu, sifat malu bukan sekadar emosi tetapi mempunyai pengertian yang lebih luas sehingga dapat membentuk satu konsep. Konsep ini dikenali sebagai konsep malu orang Melayu yang merangkumi pegangan hidup, tingkah laku, kepercayaan dan peraturan yang dipatuhi oleh masyarakatnya. Kajian oleh Norazlina Hj. Mohd. Kiram (2010) menunjukkan bahawa konsep malu yang berasaskan Al-Quran dan Hadis dapat dijadikan asas pegangan hidup dan penanda jati diri orang Melayu. Kajian ini cuba mengupas persepsi pelajar Melayu terhadap sifat dan konsep malu orang Melayu dengan menggunakan kaedah soal selidik. Responden kajian terdiri daripada 172 orang pelajar Melayu yang sedang mengikuti pengajian Bacelor di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Hasil daripada data dalam borang soal selidik menunjukkan pelajar Melayu mengetahui sifat dan konsep malu orang Melayu tetapi tidak secara mendalam. Sehubungan itu, kajian ini difikirkan amat bermanfaat sebagai panduan dan rujukan kepada pembaca untuk menilai sejauh manakah kefahaman orang Melayu, terutamanya pelajar Melayu terhadap sifat dan konsep malu.


