ANALISIS SEMANTIK KATA KERJA GERAK DAN CAMPAK DALAM DIALEK NEGERI SEMBILAN

  • NORSIMAH MAT AWAL
  • NUR LIYANA BINTI ZULKFFLE
Keywords: dialek Negeri Sembilan, kata kerja gerak, sinonim, hirarki, Teori Prototaip

Abstract

Fokus utama penulisan ini ialah menjalankan analisis semantik terhadap kata kerja gerak dan campak seperti yang digunakan dalam dialek Negeri Sembilan. Kami memilih untuk meneliti kata kerja gerak dan campak ini kerana terdapat beberapa kata kerja lain yang bersinonim dengan kedua-dua kata kerja tersebut di samping terdapat unsur hirarki makna pada kedua-dua kata kerja tersebut. Dengan itu, penelitian melalui pendekatan semantik ini mengadaptasi kerangka Teori Prototaip (Rosch, 1975) yang pada asalnya bertujuan untuk menunjukkan makna perkataan melalui konsep pemilihan contoh masdar dan bukan masdar untuk perkataan yang bersifat polisemi. Sedangkan, hasil pengadaptasian dari teori ini didapati mampu menunjukkan hirarki makna perkataan khususnya kata kerja yang bersifat sinonim berdasarkan konsep pemilihan makna utama dan bukan utama. Selain itu, konsep ruang dan waktu turut digabungkan untuk memperincikan lagi perbezaan hierarki makna untuk dua kata kerja tersebut. Dari segi proses pengumpulan data pula, kata kerja yang dipilih untuk kajian ini adalah bersumberkan senarai kosa kata dialek Negeri Sembilan hasil dari projek kajian Pemerian Semula Dialek Negeri Sembilan berdasarkan Dialektologi Bandar (UKM-SK-08-FRGS0003-2010) dan juga himpunan
kosa kata daripada Kumpulan Sokongan Anak-Anak Negeri Sembilan di dalam rangkaian laman sosial Facebook. Di samping itu, pengesahan dari penutur natif dialek tentang sinonim dua kata kerja beserta contoh penggunaannya juga disertakan untuk mengukuhkan lagi penelitian.

Published
2016-12-02